Let's Follow

15 December 2013

Terkadang Teringat.

Assalamualaikum, tinta diawali dengan kalam suci

                                        بسم الله الرحمن الرحيم  


Tinta ini dinukilkan adapun untuk mengungkap satu gejolak perasaan yang tidak dapat diluahkan dengan madah dari bibir, yang kumampu hanyalah melalui rangkaian bait aksara ini.

Jika ia pun segala kata dari dua ulas bibir ini belum tentu dapat memperjelas akan isi kandungan jiwa yang kian lama terpendam, terpenjara yang kapan akan dicurahkan.

Justeru, di medan ini, segala luahan rasa kucurah. Lirik lagu ku petik.

Aku ini wanita biasa
Bisa sakit luka kerana cinta
Dingin sepi kerap menyapa
Air mata jatuh lukisan raga

Kadang ku kuat setegar karang
Kadang ku rapuh, lemah, liar merana

Cinta di usia muda begitu mengasyikkan kata ramai orang, kini anak-anak muda tidak terlepas dari mempunyai pasangan yang dikira sama cantik dan padan. Begitu juga aku, pada satu masa dulu.

Perkenalan dengannya tika sama-sama menimba ilmu bermula dari sekolah rendah, aku kenal dia, sama-sama menjadi pustakawan sekolah, bermain kejar-kejar di sekolah, seronok zaman sekolah rendah dengan kawan-kawan seangkatan.

Memasuki alam sekolah menengah, juga aku dan dia satu sekolah berlainan kelas dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga, ya dia berada di kelas atas dan aku di kelas bawah. Namun, itu bukan persoalannya kerana pada tika itu dia mempunyai pasangan setahu aku.

Tambahan, aku juga tidak mempedulikan sekeliling kerana bagiku pergi ke sekolah adalah untuk menimba ilmu, membuat emak dan ayah bangga dengan keputusanku, alhamdulillah kerana keputusan PMR ku cemerlang, itu yang diharapkan keluarga.

Coretan disambung dengan memasuki tingkatan empat di sekolah yang sama. Waktu itu seharusnya kelas adalah mengikut aliran, guru-guru menyuruhku untuk memasuki kelas aliran sains kerana keputusan yang cemerlang. Namun, kerana kecintaan yang begitu mendalam dalam subjek geografi, aku memutuskan untuk mengambil aliran kemanusiaan.

Waktu inilah, aku dan dia disatukan dalam kelas yang sama, tidak kuduga dia juga mengambil aliran yang sama denganku. Seperti yang kuucap tadi, tujuanku ke sekolah adalah untuk belajar dan aku boleh dikatakan sombong oleh rakan-rakan yang lain kerana kurang bercakap tetapi keputusan peperiksaan sentiasa mendapat tempat pertama. Aku lebih banyak berbual dengan rakan sekumpulan denganku sahaja. Walaupun dia sekelas, aku boleh kira berapa kali saja aku pernah bercakap dengannya.

Ingatan kuimbas, pada awal tahun tingkatan empat, dia meminjam buku latihan tasawwur aku dan sehingga hujung tahun tidak dipulangnya. Setiap hari aku bertanya di mana buku itu, dia berkata tidak bawa la, lupa dan sebagainya. Satu hari aku nekad untuk mengadu pada guru yang mengajar subjek itu bahawa dia meminjam dan tidak mahu pulang. Setelah dimarahi guru, baru dipulangnya bukuku tambahan dia adakah ahli nasyid sekolah dan lebih takut kepada guru agama tersebut.

Usai melalui tingkatan empat, masuk pula zaman tingkatan lima yang mengubah segalanya. Hari pertama persekolahan, diadakan sesi pelantikan jawatankuasa kelas. Seperti biasa, aku lebih suka menyepikan diri, mendengar dan bersetuju dengan segala cadangan. Tika itu, dia secara automatik dilantik menjadi pengerusi kelas, ya mungkin kerana dia lebih layak berbanding rakan yang lain. Bagi jawatan naib pengerusi, beberapa nama dicalonkan iaitu rakan-rakanku, tiba-tiba namaku juga disebut oleh rakan yang lain dan guru kami terus membulatkan namaku dan terus juga menjadi naib pengerusi. Hairannya, menang tanpa bertanding.

Pada hari itu bermulalah menjalankan tanggungjawab, dan tika itu jugalah dia meminta no.telefonku, atas tujuan memudahkan urusan. Bermulalah sesi perkenalan daripada kawan menjadi orang yang disayang. Sepanjang tingkatan lima aku menjadi gurunya mengajar dia dan rakan-rakan menjelang SPM kerana kepandaianku berbanding rakan-rakan. Aku seronok mengajar dan tidak diduga itulah kerjayaku. Alhamdulillah keputusan SPM aku cemerlang dan dia juga mendapat keputusan yang baik.

Banyak juga aktiviti kelas dirancang dan dilaksanakan bersama seperti ahri graduasi, menghias kelas dan sebagainya. Pada masa itu juga, aku selaku pengerusi Persatuan Geografi Sekolah perlu merancang satu lawatan, aku dan jawatankuasa merancang, sehingga kami dapat menempah baju untuk dipakai semasa lawatan. Terlalu banyak kenangan di alam persekolahan, yang manis, yang pahit, semuanya diterima dengan hati yang terbuka.

Sambungan lagi, perkenalan itu sehingga kami bersama-sama menjalani tingkatan enam, aku memilih untuk meneruskan ke tingkatan enam kerana merasakan kursus yang aku terima di universiti tidak menjamin masa depanku. Semasa di tingkatan enam kami boleh dikatakan senior di sekolah, adik-adik dan guru-guru juga mengetahui perhubunganku dengan dia kerana sering belajar bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain kerana jumlah pelajar tingkatan enam adalah sedikit.

Suatu hari, aku mendapat tawaran menyambung pelajaran di IPG, aku begitu seronok dan teruja untuk ke sana, kerana selangkah lagi aku akan menjadi guru. Tanpa berfikir panjang, aku terus menyiapkan kelengkapan dan menuju je IPG tersebut. Minggu pertama di sana, aku masih kekok dan tidak dapat menyesuaikan diri, merasakan semangat lemah, tika itu dialah yang memberi semangat tanpa jemu selain keluarga.

Di IPG, berbagai dugaan dan cabaran dilalui, tidak ternilai titik pengalaman yang ditimba, begitu juga dengan perkenalan yang sering dilanda onak duri, permasalahan dari segenap sudut, semuanya diharungi bersama. Hingga satu tika, begitu berat dugaan yang mengakhiri segalanya...

Berpisah hanya menerusi perbualan telefon, tika aku berpraktikum yang boleh dikata saat kesibukan yang terlalu. Lemahnya semangat kurasakan, terasa ditipu dan sebagainya. Namun, aku tidak boleh berpatah semangat, lantas ku cari ku gali semangat diri, bangkit untuk menjalani kehidupan kerana aku masih punya Dia dan keluarga.

Di sekolah, murid-muridlah yang menjadi pengubat jiwa, melayan kerenah mereka, mendidik dan mengajar dengan sebaiknya. Aku ingin menjadi guru yang punya jiwa guru sebenarnya.

Justeru, redhalah dengan perpisahan kerana mungkin ada yang lebih baik. Terkadang teringatnya membuat hati menjadi duka, ada air mata juga tiba-tiba menitis, tidak kutahu mengapa.

Terlalu sulit untuk diungkapkan perasaan ini, namun biarlah, aku hanya menginginkan dia bahagia bersama pilihannya dan pengalaman ini mendewasakan dan kini aku menunggu insan yang tepat datang menemuiku.

ya kuboleh

ya kucuba

Mungkin coretan ini akan bersambung...

Wasalam




0 Pandangan anda?:

Post a Comment

Ada apa nak kata?
Sila ^_^

Cool Hot Pink Outer Glow Pointer