Let's Follow

21 June 2011

Inilah hati

Penulisan dimulai dengan lafaz suci bismillah...assalamualaikum sahabat.


Hari ini malam nan indah ini saya akan mengajak sahabat-sahabat berbicara tentang hati


Sekeping Hati
Segumpal daging. 


Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang terkadang sukar untuk diertikan. Manusia...banyak yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa banyak yang suka menjadi hambanya? Menuruti segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna. 


Hati... Segalanya dimulai di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang selalu cinta damai, hati yang selalu inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.

Betapa sulit untuk menjaga sekeping hati ... 

Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu menciptakan nama segagah mungkin. 


Mampu memetakan jaringan teknologi yang canggih. Mampu menyingkap rahsia alam yang sulit untuk ditembus. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci? Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, bekerja tanpa menurut rentak akal yang diberi. 


Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu menyerbu kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah..? 


Kerana hati, banyak yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Bila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Menciptakan keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga lupa untuk berpijak di bumi. Lupa pada erti syukur atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana kerasnya hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. 


Bila ditegur akan kesalahan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritik sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. 
Tidakkah kita sedar semua ini? 

Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Rabb-Nya. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan sekelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana mengira diri termasuk mukmin. 


Jangan...jangan pernah untuk berlaku seperti itu..! Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh, sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullaah SAW sendiri yang selalu dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdaus tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri mengatakan amalanyang dilakukan sehari-hari. 


Bahkan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki beliau hanya untuk menuntut taqwa dan kasih sayang Allah SWT. Maka, mengapakah kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa congkak dan angkuh seperti itu? Apakah kita  akan merasa aman kerana telah merasa beramal soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan peringatan Allah? Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onak dan duri. 


Hati awalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang untuk saling menyayangi dan melindungi sesama, tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki tercipta keributan. Kerana marah, kita sanggup menghancurkan persahabatan. Rosak binasalah hati...dan akhirnya membawa kehancuran pada diri sendiri.


 Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Tentang penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketaqwaan. Ukhuwah yang terjalin hancur hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang selalu di tusuk dengan hasutan Iblis. Jangan menaruh kebencian dan kedengkian dalam hati kerana kebaikan apa pun akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan biarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihisap oleh orang lain. 


Didiklah, tuntunlah hati ini dengan mendengarkan dan patuh pada firman Allah. Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhawatirkan kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. 


Sahabat, semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin. Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada segumpal daging, bila ia baik, baiklah badan seluruhnya, jika rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah segumpal daging itu adalah hati. (HR. Bukhari dan Muslim).


Akhir kalam, mari kita renung kembali akan di mana hati kita yang sebenarnya berada ketika ini...kepadaNyakah? atau di duniawi ini...masih belum terlewat, kita masih sempat selagi masa itu berdetik, selagi diberi kesempatan..marilah kita perbetulkan kembali kedudukan hati kita ^_^ wallaualam...salam ukhwah, salam kasih  dari saya..Nur

2 Pandangan anda?:

Ada apa nak kata?
Sila ^_^

Cool Hot Pink Outer Glow Pointer