Let's Follow

15 February 2011

~Dia Kekasih Pilihan.~

Dia yang diceritakan.
Tubuhnya tidak terlalu tinggi.
Tidak juga terlalu rendah. Perawakannya sedang-sedang sahaja.
Rambutnya tidak terlalu kerinting juga tidak terlalu lurus.
Kulitnya tidak terlalu putih dan tidak juga gelap.
Ketika berjalan, tubuhnya tegap seperti sedang menuruni tanah yang landai.
Pernah satu ketika, Jabir ibn Samurah r.a bercerita. 
“Aku melihat Rasulullah S.A.W pada sebuah malam yang terang benderang oleh cahaya bulan. Beliau mengenakan baju berwarna merah. Aku menatap beliau dan memandang bulan. Sungguh, menurutku, beliau lebih indah daripada bulan”.

Pernah juga diceritakan oleh Mughirah bin Syubah r.a.
Rasullulah S.A.W melaksanakan solat hingga kedua kaki beliau bengkak. Beliau ditanya, “Mengapa engkau memaksakan diri padahal Allah S.W.T telah mengampuni semua dosamu yang telah berlalu dan yang akan datang?” Beliau menjawab, “Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”
Sungguh terasa rindu pada susuk tubuh yang diceritakan. 

RINDU MEMANGGIL

Bagaimana ingin merasakan rindu jika tidak kenal pada yang dirindu. Bagaimana hendak mengenal jika hati tidak pernah ingin mengingat.
Masih ingatkah kita pada kerinduan Rasulullah pada saudara-saudaranya? Saudara yang tidak pernah bersua muka. Tidak pernah bertentang mata, apatah lagi mendengar suara. Kitalah saudara yang dirindui. Kita tidak pernah bertemu baginda, tetapi rasa rindu itu telah pun diberikan kepada kita sebelum kita ada. Mengapa tidak kita sambut kerinduan itu?
Katakanlah, “Wahai Rasulullah, kami merinduimu. Kami terlalu merinduimu. Kami mencintaimu selepas Allah, lebih dari segalanya.”

MENYULAM RINDU


Selawat dan salam buat Kekasih yang dirindu.
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna-sempurna salam.” ( Al-Ahzab : 56)
Lihatlah betapa agungnya Rasulullah S.A.W. Bukan kita sahaja yang dituntut mengucapkan selawat ke atas baginda, malahan Allah dan Malaikat turut berselawat. Benarlah apa yang diucapkan baginda ; 
“Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
Mustahil jika yang datang untuk menyempurnakan akhlak itu peribadinya buruk. Sudah pasti pekertinya indah, akhlaknya terpuji, dan sememangnya layak menjadi suri teladan. Justeru, sejarah kehidupan Rasulullah perlu dibaca, dihayati, diambil agar dapat disulam menjadi rindu yang tidak berbelah bagi.
Mencintai bererti ada anjakan tindakan. Mencintai dengan dibuktikan dengan perbuatan. Melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang. Tanpa rasa ragu-ragu lagi.

ANUGERAH CINTA


Ya Allah, kami bersyukur padaMu kerana menjadikan kami umat pilihan. Kau datangkan seorang Rasul buat kami. Walaupun kami tidak pernah bersua. Tidak pernah mendengar suara, namun Kau menjadikan kami umat yang istimewa. Kami terpilih menjadi umat Muhammad.
Ya Rasulullah. Selawat dan salam buatmu. Semoga salam dan selawat ini bukan hanya keluar dari dua ulas bibir kami ini, tetapi lahir dari hati yang penuh kecintaan. Rasa rindu ingin bertemu. Biarpun hanya dalam mimpi.

0 Pandangan anda?:

Post a Comment

Ada apa nak kata?
Sila ^_^

Cool Hot Pink Outer Glow Pointer