Let's Follow

24 November 2010

Surah al-Fatihah ibu segala doa.



FADILAT BERAMAL

Allah berfirman yang bermaksud :  

Dengan nama Allah, Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah,  dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami dengan jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah Engkau murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. 
(Al-Fatihah : 1-7)

Keterangan ayat :

     Surah Al-Fatihah adalah surah yang istimewa diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w yang tidak pernah diturunkan kepada nabi-nabi sebelumnya. (Riwayat Muslim).  Ia mempunyai beberapa nama. Antara yang masyhur ialah adalah Al-Fatihah yang bermaksud pembukaan kerana ia merupakan surah yang pertama dalam susunan surah-surah Al-Quran dan yang pertama dibaca dalam solat. (Tafsir al-Tabari, Tafsir al-Mawardi dan surah al-Fatihah).

     Ia juga dipanggil Ummul Kitab yang bermaksud induk al-Qurankerana kandungannya menghimpunkan maqasid al-Quran iaitu pujian menjelaskan kaedah beribadat kepada-Nya dan memohon hidayah-Nya, kisah-kisah umat yang terdahulu, gambaran kedudukan hamba-hamba-Nya yang bahagia, derita dan sebagainya. Ia menduduki tempat sebagai ibu kepada semua surah yang lain. Orang-orang Arab menamakan semua perkara yang menghimpunkan perkara yang  lain sebagai Ummun.    

     Mekah dipanggil Ummul Qura kerana semua bandar lain bergantung kepadanya. (Al-Tafsir al-Qayyim, Tafsir surah al-Fatihah, Rawai’ al-Bayan : Bab Al-Fatihah)    Selain itu, surah ini juga dipanggil oleh Allah dalam surah al-Hijr ayat 87 sebagai al-Sa’bul Mathani yang bermaksud tujuh yang berulang kerana terdiri daripada tujuh ayat dan dibaca secara berulang-ulang dalam solat. (Tafsir al-Samarqandi, tafsir surah al_fatihah, Lisan al-arab, lihat al-Mathani).    

     Al-Qurtubi yang menyenaraikan 12 nama bagi surah ini iaitu antaranya al-syifa’ (penyembuh), al-Wafiah (yang menyempurnakan), al-Kafiah (yang mencukupkan),al-Asas (asas), al-Hamd (pujian) dan lain-lain.    Beliau mengambil nama-nama itu secara tauqifi daripada Nabi s.a.w atau melalui ijtihad para sahabat. (Tafsir al-Qurtubi, tafsir surah al-Fatihah)    Al-Alusi pula menyebut surah ini memiliki lebih daripad 20 nama.(Ruhul Ma’aani, tafsir surah al-Fatihah).

Khasiat dan Kaifiat Beramal

Thabit dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari mengatakan bahawasurah ini mampu menjadi penawar kepada bagi mengubati bisa sengatan. Seorang sahabat telah diminta untuk mengubati ketua penduduk yang disengat binatang berbisa. Lalu seorang sahabat telah menjampi dengan menggunakan surah al-Fatihah. Dengan izin Allah dia telah sembuh. Cara yang dilakukannya ialah dengan membacakan surah al-fatihah dengan mengumpulkan sedikit ludahan. Kemudian ditiupkan dan disertai dengan sedikit ludahan pada bahagian yang sakit itu. Malahan disebut dalam Fath al-Bari, semua jenis penyakit boleh disembuhkan dengan membaca surah ini.


Petikan dari buku 101 Doa Para Nabi dan Rasul  Dalam Al-Quran
Khasiat & Kaifiat Beramal terbitan Telaga BIru Sdn.Bhd.

Cool Hot Pink Outer Glow Pointer